Anggota KPDN Selangor melihat motor pump dan hos penyambung yang disyaki digunakan di dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560.00 ketika di Pulau Meranti, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2024.

PUCHONG – Sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi menggunakan ‘flexi bag’ dengan nilai rampasan berjumlah RM211,560 antara modus operandi baharu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, hari ini.

Penyelewengan ini terbongkar selepas  serbuan dibuat oleh Wildlife Crime Bureau atau Perisikan Siasatan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Aman di sekitar  Pulau Meranti, Puchong pada jam 10 malam tadi sebelum menyerahkan kes terbabit kepada KPDN Selangor.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan melibatkan rampasan minyak diesel sebanyak 98,400 liter itu merupakan hasil aduan orang ramai dan risikan dilakukan polis selama dua minggu sebelum operasi dilaksanakan.

“Kawasan lapang ini dipercayai dijadikan tempat pemindahan minyak diesel dari kenderaan motor lori kecil atau jenis bonded yang diubah suai dengan IBC tank yang berisi bahan api untuk dipindahkan ke dalam badan motor lori jenis kontena.

“Semasa serbuan di lokasi tersebut, pasukan menemukan aktiviti pemindahan bahan api disyaki diesel daripada motor lori jenis bonded yang membawa dua buah IBC tank berkapasiti 1,400 liter ke motor lori tangki berkapasiti 27,000 liter.

“Kemudian, baru mereka (suspek) pindahkan lagi ke lori kontena yang mampu menampunh bahan api disyaki diesel dengan anggaran 70,000 liter,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi serbuan di kawasan perindustrian, Pulau Meranti, Puchong, di sini hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey melihat motor pump dan hos penyambung yang disyaki digunakan di dalam aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah dengan anggaran nilai rampasan sejumlah RM211,560.00 ketika di Pulau Meranti, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2024.

Tambahnya, aktiviti menyedut dan memindahkan bahan api secara tidak sah ini turut menggunakan peralatan seperti motor pump dan hos penyambung.

“Susulan itu, polis telah menahan empat lelaki berumur lingkungan 43 hingga 45 tahun sekaligus berjaya menghentikan pergerakaan serta kegiatan tersebut,”

“Kesemua individu terbabit didapati gagal mengemukakan dokumen kebenaran menyimpan dan membawa minyak diesel dan ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.

Mengulas lanjut Mohd Zuhairi berkata, sindiket tersebut dikesan telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan dipercayai hasil penyelewengan itu diedarkan ke pasaran gelap namun siasatan terperinci sedang dijalankan.

“Semasa serbuan, kita dapati ia diambil secara runcit di beberapa stesen minyak sekitar sini dengan menggunakan lori bonded kemudian bahan diesel itu dipindahkan ke lori besar ini yang dalamnya ada flexi bag.

“Hasil siasatan awal pihak kami mendapati potensi kesalahan adalah mengikut Seksyen 21 AKB 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast