Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.-AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dan umat Islam dinasihatkan tidak membuat ulasan yang boleh mencetuskan suasana tidak sihat berhubung keputusan kes mahkamah melibatkan penukaran agama tiga anak Loh Siew Hong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menasihatkan seluruh rakyat Malaysia agar bertenang dan tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

Mohd. Na’im berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan tiga beradik tersebut sebagai bukan Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menjunjung kasih Titah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang jelas menzahirkan kebijaksanaan DYTM Tuanku dalam perkara ini.

“Saya percaya penghakiman yang dibuat adalah berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu menurut Mohd Na’im, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengusulkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam untuk memperhalusi perkara-perkara berkaitan pendaftaran pengislaman.

Katanya, tindakan tersebut bagi mengharmonikan pendaftaran pengislaman dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan tiga anak Siew Hong yang ditukar agama mereka secara unilateral atau sepihak oleh bapa mereka kekal sebagai bukan Islam.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menafikan permohonan kebenaran rayuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), dan tiga yang lain, untuk mengembalikan penukaran agama unilateral pada 2020 itu oleh bapa mualaf mereka, Muhammad Nagahswaran Muniandy.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast