Operasi Ops Prebet Sapu oleh JPJ di Nilai. Foto Buletin TV3

KUALA LUMPUR – Isu perkhidmatan teksi haram, atau dikenali prebet sapu, dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) telah disuarakan di bawah kategori Usul Ekonomi Gig di Parlimen Mahasiswa Kebangsaan tahun lalu.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berkata, isu berkenaan dibincangkan bersama seluruh pimpinan mahasiswa IPT melalui platform Parlimen tersebut dan telah pun diterima Menteri Pendidikan Tinggi yang terdahulu.

Malah, antara cadangan yang diutarakan adalah membolehkan mahasiswa menjadi pemandu rasmi untuk menjana pendapatan di universiti.

“Antara cadangan adalah melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Gig Ekonomi Siswa terhadap perkhidmatan e-Hailing dan p-Hailing dalam kalangan mahasiswa dengan menfokuskan perihal pendaftaran rasmi perkhidmatan dan servis caj yang berpatutan mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu katanya, MPPK mengakui isu tersebut tular akibat keperluan mahasiswa mengenai kos sara hidup di IPT yang kian meningkat dan mencabar.

“Lebih-lebih lagi, keperluan yang melibatkan perbelanjaan sendiri seperti kos makanan, kos pengangkutan dan kos keperluan pendidikan secara keseluruhannya,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai isu pelajar IPT di kawasan Nilai yang menggunakan prebet sapu untuk mencari duit tambahan malahan ada juga pelajar yang menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk ke kelas dan sebagainya.

Perkhidmatan prebet sapu melanggar Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana salah guna cukai jalan, yang mana sesiapa yang menawarkan perkhidmatan prebet sapu ini boleh dikenakan denda kerana melanggar akta tersebut.- MalaysiaGazette

Kami bukan hidupkan ‘prebet sapu’ tapi kehidupan di IPT mencabar