Istana Kehakiman, Putrajaya

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menetapkan 23 Julai depan bagi keputusan rayuan pendakwaan mengetepikan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Enam pelajar itu didakwa kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Difahamkan tiga panel hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail juga akan menentukan rayuan pendakwaan agar keenam-enam bekas pelajar universiti tersebut dikenakan hukuman mati kerana membunuh Zulfarhan.

Kini mahkamah mendengar rayuan pendakwaan selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 menggantikan tuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(a) iaitu menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Pada tarikh itu juga, panel hakim akan memutuskan sama ada akan mengembalikan Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau kekalkan Seksyen 304(a) seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaaan mahu mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 tahun dan digantikan dengan hukuman gantung.

Enam tertuduh itu, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali. Kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Mereka didakwa kerana telah menyebabkan kematian Zulfarhan, 21, di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM pada 22 Mei 2017.

Dalam pada itu, pendakwaan juga memohon supaya 12 bekas pelajar universiti sama yang telah dihukum penjara tiga tahun oleh mahkamah kerana mendatangkan kecederaan ditambah kepada pemenjaraan maksimum iaitu tujuh tahun. -MalaysiaGazette