Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan dalam kes penyerang Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim yang disimbah asid oleh lelaki bermotosikal di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5.51 petang 5 Mei lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika dihubungi hari ini memaklumkan, sebarang perkembangan siasatan kes itu akan dikongsi kepada umum.

“Kes masih di peringkat siasatan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut hari ini.

Minggu lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk menyiapkan lakaran wajah atau fotofit suspek kes simbah asid itu.

Beliau berkata, lakaran fotofit itu akan dibuat polis berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi dari lokasi kejadian tersebut.

“Setakat ini, lebih 12 individu awam termasuk mangsa sudah selesai dirakam keterangan bagi membantu siasatan dalam kes tersebut,” kata beliau.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, penyerang kebangsaan, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di hadapan pusat beli belah itu.

Rentetan kejadian itu polis telah menahan suspek pertama berusia 25 tahun di Pandan Indah Ampang, Selangor pada malam sama hari kejadian bagi membantu siasatan kes tersebut.

Suspek lelaki tempatan berusia 20-an itu bagaimanapun dibebaskan oleh polis apabila  mendapati dia tidak terlibat dengan kes yang disiasat, selain nombor pendaftaran suspek berkenaan dipalsukan oleh penjenayah sebenar yang diburu dalam kes tersebut.

Kemudian pada 6 Mei lalu, suspek kedua lewat 30-anditahan di Bandar Baru Bangi dan semakan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod lampau dan direman untuk membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette