SHAH ALAM – Majlis Pimpinan Pelajar (MPP) tidak pernah menganjur sebarang perhimpunan mahupun demonstrasi untuk membantah pengambilan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera.
Yang Dipertuanya, Amir Nur Rashid Lizam berkata, sebaliknya MPP hanya menganjurkan kempen bantahan isu berkenaan dengan menggalakkan pelajarnya mengenakan pakaian serba hitam bermula hari ini.
“Kita tidak rancang sebarang perhimpunan, kita cuma menjalankan satu kempen kesedaran supaya semua pelajar menunjukkan isyarat mereka sendiri dengan memakai pakaian hitam.
“Itu memang saya akui kita ada rancang, perkara tersebut sekadar satu bentuk solidariti atau kempen berterusan, bukan nak kumpulkan orang ramai dan buat protes bawa sepanduk.
“Itu tiada, kita belum sampai ke peringkat itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan MPP UiTM melancarkan kempen bantahan pembukaan universiti tersebut kepada golongan bukan Bumiputera dan menggesa semua pelajar agar memakai pakaian berwarna hitam, hari ini.
Gesaan itu susulan rayuan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) minggu lalu agar UiTM mengutamakan kepentingan kesihatan awam dengan membuka sementara program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks kepada pelajar bukan Bumiputera bagi mengatasi kekurangan pakar dalam bidang tersebut.
MPP dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua 214 ahlinya dengan tegas mempertahankan objektif penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi untuk orang Melayu, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
MPP UiTM bersepakat melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah bermula 14 Mei 2024 hingga 16 Mei ini dengan tujuan memberi pendedahan serta pengetahuan kepada seluruh mahasiswa mengenai hak asasi keadilan Bumiputera.
Selain itu, Amir Nur Rashid menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semalam mengenai perkara itu sebagai satu jaminan yang boleh meredakan keadaan.
“Sebenarnya kenyataan itu adalah satu bentuk jaminan yang kami di pihak MPP, memang menunggu kenyataan tersebut sebab ia boleh meletakkan tanda noktah kepada semuanya.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi atas kenyataan itu bagi saya itulah tanda noktah kepada isu ini,” katanya.
Meskipun bantahan itu tidak melibatkan himpunan, namun beliau menyifatkan kempen MPP itu berjaya susulan sambutan yang menggalakan dalam kalangan mahasiswa, hari ini.
“Pada saya berjaya (kempen baju hitam), ada dua isyarat saya nampak mendapat maklum balas positif.
“Bila tengok media sosial, kita nampak UiTM itu trending dari tengah hari sampai petang rankingnya nombor satu di platform X, TikTok dan IG sejak semalam.
“Hari ini kita tengok kebanyakan pelajar dalam kampus tadi menyahut pakai baju hitam.
“Bila mana kita keluarkan tanda pagar # itu, ia juga disambut baik.
“Semalam lebih 2,000 orang yang menggunakan tanda pagar. Kita tengok algorithms dan template kita memang digunakan di media sosial.
“Bagi saya itu satu penerimaan yang baik dan salah satu matlamat nak tunjukkan, apa pandangan pelajar sendiri mengenai institusi yang mereka belajar,” katanya. – MalaysiaGazette