SHAH ALAM – Pengarah sebuah syarikat pengurusan sumber manusia dan pekerja syarikat logistik direman lima hari kerana disyaki mengemukakan tuntutan bayaran yang mengandungi butiran palsu kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat bagi Program Bootcamp Dekorator.
Permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Pengarah syarikat yang merupakan wanita berusia 59 tahun dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan bayaran yang mengandungi butiran palsu bagi perkhidmatan menyediakan makanan dan minuman sebanyak RM36,000.
Manakala, pekerja syarikat logistik, 52 pula disyaki mengurus dan mengemukakan dokumen tuntutan palsu sebanyak RM40,980 kepada pihak dan program yang sama.
Terdahulu, perintah reman diluluskan oleh majistret Farah Rosnan. – MalaysiaGazette