Gambar hiasan Perindustrian Petroleum Petronas Kerteh, Terengganu. Foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMUR – Petronas Suriname E&P B.V. (Petronas Suriname E&P) berjaya menemukan hidrokarbon ketiga di Blok 52 di telaga penerokaan Fusaea-1 di Blok 52 Suriname, terletak kira-kira 170 kilometer di luar pesisir dan 9 kilometer ke timur dari Roystonea-1

Telaga itu telah digali pada bulan Februari 2024 dan berjaya digerudi sehingga kedalaman keseluruhan 5,227 meter dan menemui beberapa pakej takungan batu pasir Campanian yang mengandungi minyak dan gas.

Penilaian lanjut sedang dijalankan untuk menentukan tahap penuh penemuan ini dan potensinya untuk pembangunan bersepadu dengan penemuan Roystonea-1 dan Sloanea-1 baru-baru ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Adif Zulfikfli berkata, keputusan penilaian yang diperoleh daripada telaga penerokaan Fusaea-1 telah mengukuhkan kedudukan Petronas di Suriname untuk sumber bahan hidrokarbon, berikutan penemuan Sloanea-1 dan Roystonea-1.

Penemuan ini telah meluaskan dengan ketara prospektiviti dan potensi pembangunan minyak dan gas bersepadu dalam Blok 52.

Sementara itu, Naib Presiden Eksplorasi Petronas, Mohd Redhani Abdul Rahman berkata, kejayaan Fusaea1 adalah bukti kemajuan dalam pemahaman geologi oleh Petronas di rantau ini, disokong oleh penemuan di Roystonea-1 dan Sloanea-1 baru-baru ini.

Anak syarikat Petronas ini berkata, dalam mengejar sumber bahan yang mampan dan bernilai tinggi, Petronas kekal komited dalam aktiviti penerokaannya di kawasan tumpuan terpilih sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi portfolionya.

Blok 52, yang meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi, terletak di utara pantai Paramaribo, ibu kota Suriname, dalam kawasan lembangan Suriname-Guyana.

Petronas Suriname E&P ialah pengendali Blok 52 dengan 50% kepentingan penyertaan bersama ExxonMobil.

Sebagai tambahan kepada Blok 52, Petronas Suriname E&P mengendalikan Blok 48 dan Blok 63 dengan 100% kepentingan penyertaan dan 30% kepentingan bukan operasi di Blok 64. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast