KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan kejadian beberapa buah kereta terbabas akibat jalan licin berikutan tumpahan diesel di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu kereta terbabas itu selepas insiden itu tular di laman media sosial.
Katanya, siasatan mendapati beberapa buah kenderaan terbabas disebabkan jalan licin akibat dari tumpahan minyak di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah dari arah Bukit Tinggi menghala ke Bulatan Simpang Lima, Klang.
“Lokasi kemalangan merupakan jalan sehala berselekoh dan mempunyai tiga lorong dan terdapat kesan tumpahan minyak diesel di lorong paling kanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sehingga kini hanya terdapat seorang pemilik kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu membuat laporan di Balai Polis Trafik, Klang Selatan.
Katanya, kemalangan hanya melibatkan kerosakan kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Peraturan 10 ln 166/59 Akta Pengangkutan Jalan dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik bagi membantu siasatan polis.
“Siasatan juga dijalankan dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur khianat dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Hoong Fong berkata, tumpahan minyak itu telah dibersihkan oleh pihak penyelenggara jalan dan kini jalan tersebut selamat digunakan. – MalaysiaGazette