Bekas CEO agensi badan berkanun direman bagi siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana MoF berjumlah RM1.2 bilion.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah agensi badan berkanun direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki telah menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana peruntukan pinjaman dari Kementerian Kewangan bagi projek pembangunan di sekitar ibu negara yang bernilai RM 1.2 billion.

Menurut sumber, lelaki berusia sekitar 60-an telah ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir bagi memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawah ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi dan perintah reman selama dua hari bermula hari ini sehingga 17 Mei 2024 terhadap suspek telah dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2021 dan telah menyalahgunakan dana peruntukan pinjaman dengan memindahkan sebahagian pinjaman wang yang diterima dari Kementerian Kewangan kepada syarikat kontraktor serta perunding yang tidak berkaitan dalam kos pembangunan seperti yang dinyatakan dalam permohonan peruntukan pinjaman kerajaan,” katanya.

Semalam SPRM menahan reman dua orang pegawai kanan sebuah agensi badan berkanun bagi kesalahan yang sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan , Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette