Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat sebanyak 22 kes pecah amanah oleh peguam yang diterima sejak 1 Januari hingga 15 Mei lalu tahun ini membabitkan mangsa mengalami kerugian RM19.05 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sepanjang tahun lalu, sejumlah 31 kes pecah amanah jenayah membabitkan peguam disiasat melibatkan nilai kerugian RM35,916,664.36.

Jumlah kes itu dijangka terus meningkat tahun ini dan beliau menasihati mana-mana pihak yang berurusan dengan pihak peguam khususnya melibatkan wang dalam amaun yang besar disarankan untuk sentiasa menyemak keberadaan wang
tersebut agar kes-kes sebegini dapat dielakkan.

“Penglibatan peguam dalam kes-kes pecah amanah jenayah adalah amat dikesali.

“Justeru, saya juga menggesa pihak Majlis Peguam Malaysia untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas terhadap mana-mana peguam yang gagal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana yang sepatutnya.

“Pada masa yang sama, kami juga mencadangkan agar firma guaman membuka akauan bersama untuk memastikan pelanggan sentiasa mengetahui keberadaan wang mereka selain mengelakkan perkara lain berlaku (penyelewengan),” katanya dalam sidang media perkembangan terbaharu jenayah Komersial di Menara KPJ hari ini.

Ramli Mohamed berkata demikian apabila mendedahkan dua kes terbaharu membabitkan jenayah pecah amanah oleh firma guaman melibatkan kerugian wang klien berjumlah RM8 juta yang sedang disiasat polis.

Katanya, dalam kes pertama pada 15 Mei lalu, satu laporan polis diterima di Sungai Buloh oleh seorang pengarah syarikat berusia 60 tahun yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah firma guaman wang berjumlah RM3.2 juta.

“Berdasarkan laporan, pada Julai 2023 pengadu telah melantik seorang peguam bergelar Datuk untuk menguruskan kes saman sivil terhadap sebuah institusi perbankan kerana menaikkan kadar faedah pinjaman syarikat pengadu.

“Setelah berbincang, pengadu telah membuat bayaran kos guaman sebanyak RM3,723,663.57 ke dalam akaun firma guaman tersebut sebelum pada Februari 2024, pengadu telah mengarahkan peguamnya membatalkan tindakan saman tersebut kerana institusi perbankan berkaitan telah bersetuju untuk menurunkan kadar faedah pinjaman syarikatnya.

“Pengadu seterusnya meminta agar kos guaman yang telah dibayar sebelum ini dipulangkan semula sementara pihak peguam memaklumkan terdapat caj perkhidmatan guaman sebanyak RM521,498.60 dan pengadu hanya akan mendapat baki wang tersebut iaitu RM3,202,164.97 sebelum pengadu bersetuju
dengan syarat tersebut.

“Namun sehingga kini pengadu tidak menerima pemulangan wang yang dijanjikan oleh firma guaman itu dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Tegasnya, dalam kes kedua, pihak JSJK IPD Petaling Jaya, Selangor telah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pengarah syarikat berusia 53 tahun yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah firma guaman dalam urusan pembelian tanah di Plentong Johor membabitkan wang berumlah RM4.8 juta.

Jelas Ramli, berdasarkan laporan sekitar bulan Jun 2018, syarikat pengadu telah menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat lain untuk pembelian 55 ekar tanah dengan nilai RM40 juta.

“Setelah perbincangan dibuat, pihak pengadu telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM4.8 juta ke akaun firma guaman yang dilantik oleh syarikat penjual.

“Seterusnya pada bulan Ogos 2018, peguam pengadu telah membuat carian rasmi ke atas tanah tersebut dan didapati terdapat satu kaveat persendirian baharu telah dimasukkan oleh sebuah syarikat lain,” ujarnya.

Menurutnya,  pada September 2018, pengadu juga telah menerima surat daripada peguam syarikat penjual yang mengarahkan pengadu untuk membatalkan kaveat persendirian syarikat pengadu terhadap tanah tersebut dan pihak penjual juga telah memulakan prosiding mahkamah terhadap pengadu.

Kata beliau, pada Januari 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan penghakiman yang berpihak kepada syarikat penjual yang mana keputusan tersebut dibuat setelah pihak mahkamah mendapati wang deposit RM4.8 juta yang dibayar oleh pengadu melalui firma guaman yang dilantik oleh penjual telah tiada dalam akaun firma guaman tersebut.

“Pihak mahkamah juga mendapati kesemua wang tersebut telah dibelanjakan oleh firma guaman berkenaan melalui 100 keping cek dan draf bank. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast