Kredit IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes curi motosikal di Jalan Lembah Permai, Ampang pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 28 hingga 33 tahun ditahan reman oleh Mahkamah Ampang bermula 15 hingga 18 Mei ini.

“Pada 15 Mei lalu, sekitar  2.30 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki di Jalan Laksamana, Projek Perumahan PPR, Teluk Intan, Perak.

“Kemudian pada hari sama jam 6 pagi, dengan di pandu arah suspek pertama pergi ke sebuah rumah di Jalan Saidina Abu Bakar, Desa Dato Mufti, Kampung Lembah Jaya, Ampang menahan rakan suspek yang turut terlibat.

“Polis turut merampas tiga buah motosikal beserta anak kunci, topi keledar, telefon bimbit dan empat pakaian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga didapati negatif.

Katanya, modus operandi suspek dengan mencuri motosikal di kawasan pangsapuri dan akan menjual semua komponen curi tersebut.

Terdahulu, Mohd Azam memaklumkan polis menerima laporan daripada pengadu yang bekerja sebagi pemandu peribadi pada 13 Mei.

“Berdasarkan fakta kes, pengadu berkata, pada malam pada 12 Mei, motosikalnya yang diparkir di bawah rumahnya jenis pangsapuri di Jalan Permai 10, Desa Lembah Permai berada dalam keadan baik dan berkunci.

“Namun pada keesokan harinya, sekitar 6.20 pagi, pengadu yang mahu menggunakan motosikalnya itu mendapati ia telah tiada di tempat parkir walaupun telah mencari di kawasan sekitar dan mengesyaki motosikal sudah dicuri,” ujarnya.

Susulan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dan satu tahun dan tidak lebih dan tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast