LONDON – Bintang tengah sensasi, N’Golo Kante membuat kemunculan semula dalam bola sepak antarabangsa apabila namanya terpilih ketika jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengumumkan 25 pemain yang akan membarisi skuad Perancis pada Euro 2024.
Kante meninggalkan kelab Inggeris, Chelsea pada musim panas lalu untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al-Ittihad dan tidak mewakili Perancis sejak Jun 2022.
Deschamps berkata, pemain itu menjadi pilihan kerana memiliki minit permainan yang penuh biaprun beraksi di Arab Saudi
“Dia kembali ke tahap kecergasan terbaik. Dengan pengalamannya, saya yakin pasukan Perancis akan lebih kuat dengan adanya N’Golo Kante,” kata Deschamps dalam saluran TV Perancis, TF1.
Turut kembali ke kancah bola sepak antarabangsa pertahanan Real Madrid, Ferland Mendy yang tidak bermain buat Perancis sejak September 2022.
Namun dia kerap beraksi musim ini buat kelabnya yang berada di landasan untuk melengkapkan kejuaraan berganda liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.
Bintang serangan Kylian Mbappe turut disenaraikan dalam skuad selain nama tetap seperti Antoine Griezmann, Olivier Giroud dan pertahanan Arsenal, William Saliba.
Mbappe pula hadir pada kejohanan itu dengan prestasi terbaik di sebalik ketidaktentuan mengenai kelabnya musim depan selepas mengesahkan dia akan meninggalkan PSG pada musim panas ini.
Kapten Perancis itu sudah meledak 44 gol setakat ini musim ini dan boleh menokok jumlah itu bagi baki aksi Ligue 1 dan final Piala Perancis. – Agensi