KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur 2024 (ICOMSA) anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menekankan usaha dan kesungguhan penyelidikan dalam memajukan sains marin dan penyelidikan akuakultur yang mampan.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata UMS memainkan peranan penting dalam menyokong kerajaan membuat keputusan berkaitan sains dan hal ehwal marin dan maritim, selain memberikan pendidikan berkualiti tinggi dalam bidang berkenaan.
Katanya, projek penyelidikan yang dijalankan UMS adalah relevan pada masa kini dalam menangani isu-isu antarabangsa seperti pemanasan global dan kesan perubahan iklim kepada alam sekitar dan penduduk dunia.
“Ini termasuklah penyelidikan karbon biru mengenai rumpai laut dan paya bakau yang penting sebagai tempat perlindungan, pembenihan dan makanan untuk ikan, udang dan ketam termasuk spesies komersial.
“Kesan perubahan iklim yang meluas menyebabkan kemerosotan yang signifikan kepada ekosistem laut. Kesannya sudah dirasai oleh mereka yang terlibat bukan sahaja dalam industri perikanan tetapi juga rakyat yang bergantung kepada sumber
laut,” katanya pada Majlis Perasmian ICOMSA 2024.
Beliau menambah dengan memiliki kemudahan akuakultur terbaik, UMS dapat melatih lebih ramai pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara dengan menggunakan kemudahan di IPMB seperti hatceri dan inkubator.
“Selain daripada penyelidikan akuakultur, penyelidikan marin juga sangat penting, seperti perikanan, terumbu karang dan pemulihan rumput laut, penubuhan kawasan perlindungan marin, dan pemuliharaan biodiversiti, sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu SDG14 mengenai Kehidupan di Bawah Air,” ujarnya.
Terdahulu Pengerusi ICOMSA 2024, Dr. Zarina Waheed berkata, usaha itu bukan sahaja mengukuhkan strategi pengurusan berasaskan sains yang memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, matlamat 14 mengenai Kehidupan di Bawah Air tetapi juga mempromosikan matlamat SDG 4 mengenai Pendidikan Berkualiti.
“Dengan mengadaptasi kemajuan dalam teknologi maklumat, para penyelidik telah mempelbagaikan cara untuk mempamerkan penyelidikan melalui pelbagai platform termasuk secara maya dengan penglibatan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab masa depan dalam penyelidikan dan pembuat dasar,” katanya.
Seramai 154 peserta menyertai ICOMSA yang berlangsung pada Rabu lalu.- MalaysiaGazette