Kelab Media Putrajaya

KUALA LUMPUR – Kelab Media Putrajaya (KMP) kesal dengan sikap tidak profesional Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kesihatan yang dikatakan memperlekeh pengamal media.

KMP dalam satu kenyataan berkata, tindakan Nik Azmi Nik Fathil merendahkan pengamal media yang ingin mendapatkan penjelasan dan maklumat tambahan dari segi statistik berkaitan program tersebut tidak boleh diterima sama sekali.

Perbuatan tersebut, dakwa KMJ tidak mencerminkan jawatan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada beliau.

“Permintaan maklumat tambahan itu berasas apatah lagi ia membabitkan hasil penyelidikan yang menuntut angka yang tepat.

“Kami pengamal media sentiasa dituntut untuk beretika dan menyampaikan fakta yang betul dalam pelaporan namun jika ini reaksi yang diterima, ia akan mengganggu tugas kami untuk menampilkan laporan sahih, padat serta berkualiti kepada masyarakat,” katanya.

KMJ menambah, SUA itu sekali lagi mengejutkan pengamal media apabila mencelah dan menjawab bagi pihak Menteri walaupun Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad belum sempat menjawab soalan ketika sidang media berlangsung.

“Hubungan saling memerlukan dan melengkapi di antara pengamal media dan setiausaha-setiausaha akhbar kepada menteri amat penting dalam menyebar luas maklumat terutama dasar, inisiatif serta pencapaian kerajaan yang bermanfaat dan membentuk pemikiran masyarakat selain menjadi semak dan imbang kepada negara.

“Teguran ini juga ditujukan kepada Ketua-ketua Unit Komunikasi Korporat kementerian, pegawai di Unit Komunikasi Korporat kementerian dan pegawai perhubungan awam mana-mana agensi atau jabatan kerajaan mahupun swasta yang mempunyai interaksi langsung bersama pengamal media agar kita dapat terus menjalinkan kerjasama dengan utuh dalam suasana hormat menghormati, mesra dan beradab,” katanya.

Kelab Media Putrajaya merujuk kepada aduan diterima daripada beberapa pengamal media yang membuat liputan Majlis Pelancaran Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Permintaan Jagaan Kesihatan serta Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan (KKM) semalam (16 Mei). – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast