Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Negara-negara Islam perlu menuntut ilmu dan menguasai keupayaan mencipta dan mengeluar senjata moden, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, orang Islam hanya dapat berdoa dan sembahyang hajat meminta pertolongan dari Allah tetapi Allah telah berfirman di dalam al-Quran bahawa yang berdoa hendaklah berusaha sendiri sebelum Allah makbulkan permintaan mereka.

“Hakikatnya ialah orang Islam yang berdoa tidak membuat apa-apa untuk melindungi orang Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Sebenarnya mereka tidak mampu untuk bertindak.

“Sebabnya ialah kerana orang Islam dan negara mereka amat lemah. Sebabnya mereka lemah ialah kerana mereka tidak amal ajaran agama Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Mahathir, seluruh dunia melihat keganasan Israel yang angkuh Israel meneruskan keganasan, membunuh juga ratusan orang Palestin di Tebing Barat. Sekarang Lubnan juga diserang.

“Tidak ada sesiapa yang bertindak dan menolong. Tidak ada sesiapa yang cuba beri perlindungan.

“Biasanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan hantar pasukan pengaman. Tetapi sejak serangan oleh Israel, tidak ada pasukan pengaman dihantar oleh PBB.

Menurutnya, Islam menyuruh umatnya membuat persediaan untuk melindungi keselamatan ummah Islamiyah.

“Untuk ini negara Islam dan orang islam perlu memiliki ilmu senjata moden dan pasukan tentera yang boleh menangkis serangan musuh. Tetapi mereka tidak dapat mengeluarkan senjata sendiri.

“Ramai orang Islam yang berpendapat sunnah Nabi ini ialah berkenaan dengan pemilikan senjata zaman Nabi,” ujarnya.

Sebenarnya, menurut Dr Mahathir, sunnah Nabi ialah keupayaan menyelamat umat Islam.

“Senjata zaman Nabi tidak mampu menyelamatkan di zaman ini. Senjata yang sesuai di zaman ini ialah machine-gun, roket, meriam, kereta kebal, pesawat pejuang, kapal perang dan lain-lain. Orang Islam tidak dapat cipta dan mengeluar senjata ini.

“Sebabnya ialah oleh kerana mereka tidak miliki ilmu dan kepakaran yang diperlukan,” katanya lagi.

Menurutnya,jika orang Islam berhajat untuk tunaikan kewajipan mereka untuk melindungi dan menyelamat umat Islam, penguasaan ilmu sains dan matematik hendaklah dituntut oleh mereka.

“Jika orang timur boleh kuasai ilmu-ilmu ini dan mereka mampu mencipta dan mengeluar alat-alat pertahanan ini, tidak ada sebab kenapa orang Islam tidak boleh.

“Islam juga perlu mengadakan sebuah negara maju untuk melindungi umat Islam. Di zaman Uthmaniyah, tidak siapa berani menghina dan menekan orang Islam atau negara Islam. Mereka takut akan kekuatan rejim Uthmaniyah,” katanya.

Sejak kejatuhan Uthmaniyah tidak ada satu pun negara Islam yang cukup maju sehingga dihormati dan ditakuti oleh musuh Islam, katanya.

Jika hari ini orang Islam ketinggalan dan lemah dan tidak dapat tunai kewajipan mereka melindungi umat Islam, sebabnya ialah kerana ilmu yang ada pada mereka berkurangan.

“Untuk ini kita perlu ilmu, kepakaran dan kebolehan berperang dengan cara moden yang perlu diusaha oleh kita. Kesedaran ini perlu ada pada kita jika ingin lihat agama kita dan umat Islam tidak lagi dihina dan ditekan,” katanya. – MalaysiaGazette