Ling Tian Soon

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang dipercayai dilakukan oleh suspek-suspek kumpulan Jemaah Islamiah (JI) ke atas Balai Polis di Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Pengerusi Belia Kebangsaannya, Ling Tian Soon berkata, pihaknya mengutuk serangan yang meragut nyawa dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi itu.

“Kami memanjatkan doa untuk roh arwah dan mendoakan agar kakitangan yang cedera segera pulih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu Tian Soon meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa halangan.

Beliau berharap agar keselamatan orang awam dipertingkatkan.

“Ini memerlukan penglibatan, kerjasama dan peranan semua pihak.

“Adalah wajar untuk memastikan Malaysia bebas daripada pengaruh mana-mana kumpulan pelampau dan pengganas yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya.

Dalam kejadian pukul 2 pagi tadi, seorang anggota polis ditembak manakala seorang lagi ditetak maut selepas diserang seorang lelaki yang menceroboh masuk ke balai polis tersebut.

Suspek seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis berkenaan dengan bersenjatakan parang.

Suspek juga mencederakan dua anggota polis yang bertugas dan merampas dua laras senjata iaitu sepucuk pistol Walther P99
dan selaras HK MP5 serta melepaskan dua das tembakan. – MalaysiaGazette