Kamarul Rizal

BAYAN LEPAS – Polis telah merakamkan keterangan lapan individu bagi membantu siasatan isu resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini tertera komen berbaur provokasi hina agama Islam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dua daripada lapan individu yang dirakam keterangan itu merupakan pekerja rangkaian piza tersebut.

“Kita juga menjalankan siasatan berkaitan laporan polis yang dibuat berhubung kes ini. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kita sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Polis semalam mengesahkan menerima lima laporan berhubung isu resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini tertera komen berbaur provokasi hina agama Islam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Kelmarin tular tangkap layar resit yang tertera at this noisy place with stupid moaning sound like have sex eyeryday. stupid islam (di tempat yang bising ini dengan bunyi mengerang bodoh seperti melakukan hubungan seks setiap hari. Islam bodoh).

Tangkap layar hantaran gambar resit itu dikongsi warganet di beberapa akaun komuniti sehingga mendatangkan reaksi negatif.

Rata-rata warganet juga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera bertindak dan menahan individu yang melakukan provokasi keterlaluan itu.

Selain itu, warganet turut meluahkan rasa kesal kerana kes penghinaan terhadap agama Islam semakin meningkat dengan kes itu dibimbangi akan menyebabkan hubungan antara kaum tidak harmoni. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast