Suspek (berbaju oren) di bawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman sehingga 21 Mei untuk siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM75,000. Gambar: Ihsan SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang individu kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM75,000 sebagai dorongan untuk tidak mengenakan potongan bayaran bagi perkhidmatan kawalan keselamatan sebuah mahkamah di ibu negara.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan kira-kira jam 7.30 malam Selasa lalu di sekitar, ibu negara.

Susulan penahanan itu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan perintah reman selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Mei terhadap suspek dikeluarkan Majistret Atiqah Mohamed.

“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2019 hingga 2022 dan telah menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM75,000 dengan tiga transaksi melalui pindahan akaun syarikat proksi dan satu lagi diterima secara tunai.

“Hasil penahanan tersebut SPRM turut menyita sebuah kenderaan dan sebuah motosikal disyaki hasil daripada pengubahan wang haram tersebut,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette