Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah ketika bergambar pada majlis perasmian International Volunteering Programme 2024 anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) unit kediaman luar kampus di Kampong Tua, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 MAY 2024.

KUALA LUMPUR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Unit Kediaman Luar Kampus telah menganjurkan program International Volunteering Programme melibatkan 49 orang peserta daripada 11 negara termasuk Malaysia.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini dianjurkan oleh Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus dengan kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Paynet Network Sdn. Bhd., Yayasan Perak, Legasi Setiakawan Enterprise, Torpedo Resources, UPSI Holding Sdn. Bhd., Sadang Mali Enterprise dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairuddin Abu Hanipah berkata, julung kalinya keluarga angkat menerima pelajar antarabangsa daripada Mesir, Yemen, Nigeria, Somalia, Eritrea, Syria, Filipina, Bangladesh, China dan Indonesia.

“Saya berharap keluarga angkat dan peserta dapat berkenal-kenalan, bertukar pandangan berkaitan budaya, gaya hidup dan makanan tempatan.

Jadikan program ini sebagai satu medan kepada peserta untuk mencari pengalaman, pengetahuan dan menerokai kemahiran masyarakat kampung agar menjadi panduan pemimpim dan pendidik masa hadapan,” ujar beliau.

Pengarah Program, Siti Zulaikha Zakaria berkata, objektif program adalah untuk memberi peluang kepada semua pelajar agar merasai dan melalui pengalaman budaya serta gaya hidup masyarakat kampung di Perak.

Salah seorang Peserta, Liu, Stephanie Abrea daripada Philippine Normal University (PNU) memaklumkan rasa gembira dan seronok dengan budaya Malaysia.

“Ini kali pertama saya mengayakan baju kurung dan makan menggunakan tangan.

Saya berterima kasih kepada jawatankuasa program kerana menganjurkan aktiviti yang menarik sepanjang program IVP ini berlangsung,” katanya.

Program International Volunteering Programme (IVP), melibatkan empat buah Kampung Mukim Belanja, Parit, Perak iaitu Kampung Sadang, Kampung Tua, Kampung Changkat Banjar dan Kampung Belanja Kiri.

Seramai 25 orang pelajar antarabangsa dan 24 orang tempatan  daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Philippine Normal University (PNU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknikal Melaka (UTeM) terlibat dalam program IVP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast