Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas yang tertarik dengan iklan kelas pelaburan forex  berputih mata apabila kerugian wang  RM1.2 juta kepada sindiket penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 7 Mei lalu di Brickfields daripada mangsa wanita tempatan berusia 63 tahun yang mendakwa telah ditipu.

Pengadu yang juga seorang pekerja bebas pada awal Januari lalu telah melayari Facebook dan terlihat iklan berkaitan kelas pelaburan forex sebelum menekan pautan yang diberi dan berurusan dengan dengan individu yang mendakwa sebagai Ketua Pelaburan Forex, Warburg Pincus Singapura.

“Mangsa kemudiannya telah diajar (secara dalam talian) perihal pelaburan forex oleh seorang ‘guru trading’ manakala pada Mac lalu pengadu diperkenalkan kepada satu aplikasi dan diarahkan untuk menggunakan aplikasi tersebut bagi urusan jual beli forex yang mana pengadu ditawarkan keuntungan sehingga 30 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat.

“Bermula 19 Mac hingga 29 April lalu pengadu telah membuat enam pindahan wang ke akaun syarikat yang diarahkan dengan membabitkan nilai keseluruhan wang berjumlah RM1,282,315 bagi urusan pembelian saham,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, melalui aplikasi yang digunakan, pengadu dapat melihat wang pelaburannya telah menjana keuntungan sehingga RM3.4 juta.

Tetapi pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak syarikat apabila pengadu ingin mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi dari hasil pelaburan forex itu dengan sindiket terbabit.

“Pengadu seterusnya telah membuat semakan dengan pihak Suruhanjaya Sekuriti dan terkejut apabila didapati Syarikat Warburg Pincus Club telah disenaraikan dalam investor alert list.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette