CHUKAI – Seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu ditemukan di sebuah kedai menjual ayam proses di Jabur Kubur, Jalan Air Putih, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata bayi seberat tiga kilogram (kg) dan cukup sifat itu ditemukan oleh seorang pemandu lori ayam kira-kira 7.30 pagi.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

“Saya meminta kerjasama klinik swasta dan kerajaan untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada menerima kes wanita baru melahirkan anak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai ayam berkenaan Raja Mahidi Raja Ayub, 38, berkata bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan sudah tertanggal tali pusat dan menggigil kesejukan.

“Pada mulanya pemandu lori berkenaan menyangka tangisan bayi itu datang daripada anak kucing. Selepas diperiksa dia terkejut bayi itu ditemukan atas lantai dengan hanya beralaskan baju.

“Tahun lepas pernah berlaku insiden sama di kawasan ini tetapi melibatkan bayi perempuan,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast