KUANTAN – Van membawa jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram semalam selamat tiba di kediaman keluarga untuk disembahyangkan kali kedua di sini hari ini.
Van tersebut tiba pukul 4.40 selepas bergerak pukul 11.50 pagi tadi dari Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor setelah disembahyangkan pagi tadi.
Ketibaan jenazah disambut oleh wakil pasukan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pahang, keluarga dan sanak-saudara yang sudah menunggu sejak awal pagi.
Istiadat ringkas menyambut keranda jenazah dilakukan lapan anggota polis sebelum disembahyangkan oleh kira-kira lebih 100 jemaah di ruang tamu kediaman rumah orang tuanya.
Sebelum itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman turut hadir menyantuni keluarga sejak pukul 3.30 petang.
Ahli keluarga juga berpeluang menatap wajah Muhamad Syafiq kali terakhir.
Suasana pilu mengiringi ketibaan arwah buat kali terakhir sebelum menuju ke tanah perkuburan. – MalaysiaGazette