TASEK GELUGOR – Pengusaha ternakan lembu di Lahar Yooi di sini berdepan detik cemas selepas sebahagian kandang yang memuatkan lebih 100 ekor lembu dinaiki banjir kilat semalam.
Mohd Azlan Ahmad yang juga bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim ketiga (PU3) berkata, hujan berterusan selama beberapa jam menyebabkan kandang lembu terbabit dinaiki air yang dianggarkan sedalam 0.5 meter.
Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Alen berkata, ketika memeriksa kandang, dia terkejut apabila melihat air sudah menenggelamkan sebahagian kaki lembu di kandang.
“Alhamdulillah setakat ini, tiada insiden hingga kehilangan nyawa ternakan cuma dari segi makanan saya mengalami kerugian RM5,000 susulan bekalan itu ditenggelami air banjir.
“Kejadian banjir ini kerja tuhan (Allah) kita tak boleh nafikannya cuma sebagai pemilik saya mencari alternatif lain dengan membuat persediaan untuk memindahkan lembu sekiranya keadaan bertambah buruk.
“Ikutkan ini bukan musim hujan tapi keadaan perubahan cuaca pada masa kini membuatkan saya minta pekerja untuk sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Mohd Azlan difahamkan air banjir mengambil masa untuk surut susulan faktor air laut mati ketika ini.
“Walaupun kesemua lembu selamat semalam, namun saya perlu berwaspada kerana kesemua lembu itu sudah ditempah pelanggan bagi ibadat korban tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette