Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) berkuatkuasa 1 Mei ini sehingga 30 September 2026.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berkata, surat pelantikan tersebut diserahkan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di pejabatnya hari ini berdasarkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Semasa bertugas sebagai Ketua Setiausaha di KESUMA pada 2012 hingga 2014, Zainal Rahim adalah tulang belakang di sebalik pengenalan penetapan gaji minimum di negara ini.

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran beliau berhubung ekosistem pasaran buruh khususnya melibatkan dasar gaji mampu memberi nilai tambah kepada MPGN.

“Pelantikan ini diharap dapat memperkasakan MPGN dalam melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KESUMA juga mendedahkan ketika ini, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022.

“Perkara berkaitan kajian ini akan dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPGN yang akan datang,”ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast