Ning Baizura

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Ning Baizura yang sebelum ini dikritik hebat oleh warganet kerana bertanya ‘Siapa Rafah’ berkongsi video klip ‘Selamatkan Palestin’.

Berlatarbelakangkan lagu ‘Di Sisimu’ video itu memaparkan foto-foto tragedi yang menimpa rakyat Palestin yang mengalami pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel di Gaza.

“Berjuang untuk #savepalestine. Perjuangan untuk saudara kita di Palestin! Gunakan alat anda untuk mendidik bukan menyebarkan kebencian!

“Saya berdiri untuk #ceasefirenows. Membuat video ini kerana cinta dan jika anda mahu berkongsi dengan yang lain terpulang kepada anda.

“Hanya Salurkan tenaga anda untuk berjuang atas sebab yang betul! Masya-Allah Subhanallah. Kun faya kun,” katanya dalam coretan terkini di Instagram.

Sebelum itu, dalam hantaran yang lain, penyanyi itu mengakui tidak sengaja memberi reaksi ‘Siapa Rafah’ kerana sibuk melayan permintaan peminat untuk menyanyikan lagu.

Ujar Ning atau Ning Baizura Sheikh Hamzah, 49, orang ramai tidak akan salah faham sekiranya mereka menonton keseluruhan video siaran langsung tersebut.

“Kalau awak ada peluang untuk menonton keseluruhan video itu pasti awak tahu apa yang berlaku dan saya ada kongsi dalam Instagram saya.

“Semasa saya baca komen peminat, tanpa sengaja saya beri reaksi seperti itu. Saya tak bermaksud mahu mempersenda situasi di Gaza dan tempat itu. Sebab itu saya cakap ‘siapa itu’ bukan ‘apa itu’,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Menurut Ning, hakikatnya dia juga dalam diam membantu rakyat Palestin namun enggan menguar-uarkan sumbangannya itu.

Sementara itu, dalam satu perkongsian lain, Ning Baizura warganet mereka berhenti untuk mengikutinya di platform media sosial jika mahu menggunakannya sebagai tempat untuk meluahkan ayat yang melukakan.

“Tak suka move on dan unfollow. Kata-kata yangn mengaibkan dan kesat bukan ajaran agama. Tolongla, cukup. Lagi kau orang keji, insya-Allah lagi banyak pahala saya.

“Tak puas hati pergi la. Cerminkan diri anda sebelum mengeluarkan kenyataan yang kurang bijak. Ini ruang saya. Saya tak ada masa nak block, report. Renung-renungkan. Just unfollow,” luah Ning Baizura.

Sebelum ini, netizen kecewa dengan respon Ning yang bertanya ‘siapa Rafah’ ketika muncul menerusi video siaran langsung dalam Instagram miliknya.

Rafah adalah kawasan paling hujung di selatan Gaza dan menjadi benteng terakhir sejumlah 1.8 juta pelarian Palestin yang diasak dari utara dan tengah Gaza oleh tentera Israel sejak lapan bulan lalu.

Israel merancang untuk menyerang Rafah sehingga tercetus kempen “Eye’s on Rafah” bagi menyelamatkan pelarian yang terdedah dengan pembunuhan beramai-ramai.

Sehingga kini lebih 35,000 penduduk di Gaza telah mati akibat serangan berterusan tentera Israel. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast