KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan sebanyak 11,696 kes jenayah komersial sejak 1 Januari hingga 12 Mei tahun ini.
Kadarnya bersamaan dengan purata 88 kes sehari, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Menurut beliau, jumlah kes terbabit bagaimanapun mencatatkan penurunan satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan jumlah kes sebanyak 11,834 kes.
Daripada aspek pertuduhan, sejumlah 5,550 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh yang sama iaitu 47 peratus dari jumlah kertas siasatan yang dibuka.
“Peratusan pertuduhan ini juga lebih baik berbanding tempoh sama tahun 2023 yang mencatatkan sejumlah 5,367 pertuduhan atau bersamaan 45 peratus.
“Berdasarkan rekod, sepanjang 1 Januari hingga 30 April tahun ini, polis telah membuka sebanyak 10,179 kertas siasatan sementara 67.3 peratus atau 6,855 kes daripadanya adalah melibatkan kes jenayah bersindiket,” katanya hari ini.
Mengikut pecahan, modus operandi jenayah belian online merekodkan sebanyak 2,254 kes dengan nilai kerugian RM20.336 juta disusuli jenayah penipuan pelaburan (1,767 kes) dengan merekodkan jumlah kerugian terbesar iaitu RM231,471 juta disusuli pinjaman tidak wujud (1,158 kes) membabitkan nilai kerugian RM12.505 juta.
Tambah beliau, penipuan scam telefon mencatatkan 679 kes dengan nilai kerugian berjumlah RM33,838 juta diikuti 264 kes ah long dengan nilai kerugian RM1,036 juta dan 233 kes Love Scam (kerugian RM7.456 juta).
Selain itu, katanya, polis turut merekodkan sebanyak 65 kes penipuan tanah membabitkan jumlah kerugian RM56.796 juta disusuli 23 kes penipuan BEC (Business Email Compromises) berkerugian RM13.566 juta dan penipuan wang palsu sebanyak 321 kes dengan jumlah kerugian RM85,206.
“Polis Komersial juga menerima sebanyak 65 kes penipuan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berkerugian RM851,618.91, 13 kes penipuan kad kredit membabitkan kerugian wang RM105,226.57 manakala empat kes penipuan cakera padat video (VCD) dan cakera padat digital (DVD) turut direkodkan.
“Kita juga menerima tiga kes penipuan bomoh berkerugian wang RM85,750, tiga kes penipuan toto dengan nilai kerugian wang RM167,550, dua kes penyamaran bersemuka berkerugian RM1,310 dan satu kes gores dan menang berkerugian RM20,000,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette