JOHOR BAHRU – Tujuh individu termasuk seorang warga Singapura direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 24 Mei bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, awal pagi semalam.
Majistret Hidayatul Syuhada Samsudin membenarkan penahanan reman itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini untuk siasatan di bawah Seksyen 302.
Individu yang direman itu terdiri daripada lima anggota keluarga suspek, berumur antara 19 hingga 62 tahun yang ditahan susulan pemeriksaan di kediaman keluarga suspek pada awal pagi semalam.
Turut direman adalah dua penuntut kolej warga tempatan berusia 21 dan 22 tahun yang turut berada di lokasi kejadian ketika insiden berlaku.
Kesemua suspek warganegara tempatan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Muhammad Zahier Rosli, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon dan Sulaiman Zamani.
Dalam kejadian 2.45 pagi itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail. – BERNAMA