Tiga warga asing Indonesia merupakan antara yang ditahan kerana telah menyewa kereta untuk ke Pulau Pinang tanpa memiliki lesen di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengenal pasti syarikat atau individu yang membekalkan perkhidmatan kereta sewa kepada warga asing yang tidak mempunyai lesen atau insurans sah.

Pengarah Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hasan berkata, tindakan itu susulan kes tiga warga asing yang dikesan menaiki sebuah kereta dari Pulau Pinang atas urusan kerja.

“Kalau kita tengok tadi ada sebuah kenderaan jenis Honda City yang ditahan, hasil siasatan mendapati pemandu bersama dua rakannya menyewa kenderaan tersebut untuk pergi ke Pulau Pinang.

“Susulan kes ini, kami akan mengenal pasti pemilik kenderaan tersebut dan mengambil keterangan untuk siasatan. Sekiranya memang betul kenderaan itu untuk disewa, kami akan ambil tindakan di bawah kesalahan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan Operasi Bersepadu bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan di Plaza Tol Jalan Duta malam tadi.

Antara yang terlibat adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambah Muhammad Kifli lagi, jumlah kemalangan melibatkan warga asing di jalan raya ketika ini semakin bertambah sekaligus menimbulkan kebimbangan orang ramai.

“Sebagai contoh, kita lihat warga asing yang menaiki motosikal roda tiga dengan membawa besi buruk, kebanyakan mereka didapati tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Bagaimananpun, kita akan sentiasa membuat penguatkuasaan yang berterusan untuk memantau kes seperti ini,” tegasnya.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan Pusat Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) melakukan memantauan ketika Operasi Bersepadu Bil. 2/2024 JPJ WPKL di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 MEI 2024

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan lampu High Intensity Discharge (HID), beliau menegaskan sebarang pengubahsuaian membabitkannya akan dikenakan tindakan.

Jelasnya, penggunaan lampu HID hanya dibenarkan sekiranya ia mengikut spesifikasi asal daripada pihak pengeluar kenderaan berkenaan yang diluluskan JPJ.

“JPJ ingin menasihati kepada pengguna dan pemilik kenderaan supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Jabatan ini sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan rata sentiasa terpelihara serta berada di tahap yang terbaik,” ujarnya.

Terdahulu, sebanyak 2,512 buah kenderaan telah diperiksa dengan 196 daripadanya diambil tindakan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan bermula  8 malam hingga 1 pagi.

Ia dilaksanakan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan atau kesalahan gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta 333 dan kaedah-kaedah di bawahnya bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya. – MalaysiaGazette