Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMMC) berjaya meraih pengiktirafan bagi kategori telekomunikasi untuk Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM).

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya meraih pengiktirafan bagi kategori telekomunikasi untuk Sistem Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPM).

Ia disampaikan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia 2024 yang berlangsung di Rotterdam, Belanda baru-baru ini.

SKMM dalam kenyataan berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi teknologi selain menetapkan penanda aras baharu bagi industri telekomunikasi global.

“Pengiktirafan yang diterima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia adalah bukti kepada komitmen MCMC dalam memacu kemajuan dan kecemerlangan menerusi digitalisasi dan inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah SKMM, Forum Dunia Geospatial 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula sejak 13 Mei lalu mengiktiraf dan meraikan kemajuan global dalam teknologi geospatial yang mengetengahkan penggunaan secara inovatif data berkaitan
lokasi.

Jelasnya, CIPM adalah satu aplikasi penyelesaian proses pengurusan permit yang dibangunkan oleh MCMC yang memberi impak yang besar kepada pihak berkuasa tempatan dan pemain industri telekomunikasi.

“Sistem perintis ini menguruskan lebih 31,000 struktur komunikasi mudah alih di seluruh Malaysia dan kini giat digunakan oleh lebih 1,300 pengguna daripada 110 pihak berkuasa tempatan dan penyedia kemudahan rangkaian,” ujarnya.

Ujarnya lagi, CIPM telah mentransformasikan industri telekomunikasi dengan menghapuskan ketidakcekapan, halangan birokrasi dan proses meluluskan permit secara konvensional yang memakan masa.

“CIPM menyumbang kepada pengurangan signifikan proses kelulusan daripada 90 hari kepada hanya 14 hari dan mengendalikan lebih 16,000 transaksi permit secara tahunan dan menjana pendapatan sebanyak RM31 juta untuk Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sistem yang inovatif ini bukan sahaja mempertingkat keberkesanan operasi bahkan juga meningkatkan tahap pematuhan peraturan oleh pemain industri,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast