Sekatan jalan yang dibuat semasa Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan semalam.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 96 saman dikeluarkan atas kesalahan-kesalahan lazim menerusi operasi Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan yang diadakan di dua lokasi berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua operasi itu dilaksanakan di Jalan Bunga Raya dan di sekitar Bukit Ampang Saujana bermula pukul 1 pagi hingga 5 pagi.

Seramai 80 individu dan 80 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi tersebut dengan kesalahan yang dilakukan iaitu tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi, ubah suai ekzos dan juga pelbagai lagi kesalahan-kesalahan lain.

“Sebanyak 20 buah motorsikal telah disita di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.

“Lapan daripadanya adalah motorsikal yang ditunggang oleh warga asing dan baki 12 buah motorsikal disita kerana kesalahan yang sering dilakukan iaitu pengubahsuaian ekzos.

“Kenderaan yang disita ini dibawa balik ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan dan penahanan dalam operasi itu dibuat secara rambang dengan menumpukan kepada kenderaan jenis motosikal dan juga penunggang-penunggang yang berpotensi melakukan aktiviti-aktiviti berbahaya di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Azam menasihatkan kepada mana-mana pemilik kenderaan agar tidak memberikan kebenaran kepada sesiapa sahaja yang tidak mempunyai lesen memandu sah untuk meminjam kenderaan mereka.

Ia dikhuatiri sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini pada ketika itu yang bakal mengundang padah kepada pemiliknya. – MalaysiaGazette