Anggota Penguat Kuasa KPDN memeriksa kenderaan pacuan empat roda yang mengisi diesel berulang kali di Rantau Panjang.Foto KPDN Kelantan

RANTAU PANJANG – Tindakan dua penyeludup minyak petrol dan diesel yang mengisi bahan api secara berulang kali akhirnya terbongkar selepas seorang daripada mereka ditahan dalam Ops Khas Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

Serbuan pertama diadakan pada jam 7.45 pagi kelmarin selepas sepasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebuah Proton Waja berpendaftaran tempatan membuat pengisian minyak petrol secara berulang kali di dua buah stesen berlainan.

Selepas mengisi minyak, pasukan mengekori kenderaan tersebut, kemudian memberhentikan kereta di Kg. Gual Tinggi, Rantau Panjang, Kelantan.

Pasukan KPDN telah menahan kereta suspek namun dia melarikan diri ke dalam semak berhampiran tanpa dikesan.

Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai pada lubang untuk memasukkan minyak pada tangki kenderaan dan menjumpai anggaran 50 liter minyak petrol bersama disyaki akan diselewengkan.

Dalam kejadian berasingan, anggota KPDN mengesan sebuah lagi kenderaan Misubishi Pajero berpendaftaran tempatan sedang mengisi minyak secara berulang kali di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan dan serbuan dilakukan pada jam 8.50 pagi.

Namun suspek yang menyedari anggota KPDN menghampirinya bertindak memecut kenderaaan keluar dari stesen minyak untuk melarikan diri tetapi pasukan penguat kuasa mengejar kenderaan pacuan empat roda itu sehingga pemandu memberhentikannya berhampiran sebuah rumah disyaki Pengkalan Haram Kg. Kerdap, Rantau Panjang, Kelantan.

“Ketangkasan pasukan telah berjaya menahan pemandu kenderaan tersebut, pemeriksaan lanjut menemui terdapat tangki disyaki ubah suai pada tempat memasukkan minyak dengan anggaran sebanyak 150 liter minyak diesel bersama dijumpai didalam tangki dan beberapa tong dibahagian belakang rumah tersebut,” menurut kenyataan KPDN Kelantan.

Pemeriksaan lanjut di belakang rumah suspek mendapati terdapat empat tong minyak diesel, toga alat timbang dan satu mesin pam penyedut yang disyaki digunakan untuk tujuan urusan jual beli penyeludupan barang kawalan.

Pasukan KPDN turut menyita dua buah kenderaan bersama anggaran 150 liter minyak diesel dan 50 liter minyak petrol bersama seorang lelaki tempatan berusia 20an ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette