MELAKA – Melaka memerlukan sebuah pusat pengurusan sisa pepejal daripada sektor pembinaan dan sektor perindustrian dan keinstitusian (ICI) bagi mengatasi masalah kepadatan pusat pelupusan sampah di Sungai Udang.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, permohonan rasmi ICI akan dikemukakan segera kerana keperluannya yang sangat mendesak ketika ini.
“Saya telah bincang dengan Yang Berhormat Menteri (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kita akan hantar permohonan rasmi tapak ICI yang mana ketika ini berkongsi dengan tapak sisa domestik di Sungai Udang.
“Kita sangat mendesak memerlukan (ICI) kerana sampah industri ICI ini sahaja jumlahnya 30 hingga 40 peratus daripada sampah domestik yang akan menyebabkan tapak sampah di Sungai Udang terlalu padat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Surau Al Falah di Taman Krubong Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pembukaan ICI tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memerlukan kebenaran daripada KPKT.
“Dari sudut bajet itu, mungkin kita akan laksanakan antara kerjasama awam dan swasta (kerana) sebenarnya kita sangat mendesak dan dah banyak kali saya beritahu tentang masalah sampah yang kita hadapi ini,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Rais berkata kerajaan negeri akan memastikan peruntukan sebanyak RM22.31
juta bagi pembinaan baru projek Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) tidak disalahguna untuk projek lain. – MalaysiaGazette.