Mahkamah Kota Bharu

KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) intelektual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki di sebuah masjid di Jalan Langgar di sini pada Mac lepas.

Mohamad Hafiz Al-Hilal Maula Murad, 35, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 17 tahun di masjid berkenaan pada 2.30 petang, 15 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh memandangkan kejadian itu menyebabkan mangsa trauma.

Bagaimanapun peguam Ahmad Farhan Abdul Halim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya mempunyai masalah intelektual selain menghidap kencing manis.

“Anak guam saya mengalami simptom lambat membaca, mudah lupa dan senang dipergunakan orang lain,” katanya.

Hakim Nik Habri Muhamad membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dilarang menganggu mangsa dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan kes. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast