KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan mengenai ugutan terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes itu pukul 9 malam, semalam.
Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati, sampul surat yang dikirim dengan sekeping nota berbentuk amaran turut mengandungi dua butir peluru.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata, kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara tersebut serta menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan.
Ujarnya, sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menyalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Teresa yang merupakan Naib Pengerusi DAP mendakwa menerima ancaman bunuh dalam sekeping kertas bersama sampul surat berisi dua butir peluru semalam.
Katanya, sampul yang mengandungi benda keras itu diambilnya dalam peti surat sebaik sahaja pulang ke rumah.
Beliau kemudiannya membuat laporan dan menyerahkan sampul surat serta peluru berkenaan kepada polis di Balai Petaling. – MalaysiaGazette