Balai Polis Dato Keramat.

GEORGE TOWN –  Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam pengaruh alkohol selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 35 tahun itu menunggang sebuah motosikal itu dikatakan menghampiri anggota sentri yang sedang menjalankan tugas di pintu pagar balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta anggota membuka pintu pagar tersebut.

Difahamkan anggota berkenaan minta suspek menyatakan tujuan ke balai sebelum dia tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota tersebut, selain menceroboh masuk pekarangan balai berkenaan.

Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun berjaya dihalang anggota terbabit.

Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran agar tidak mengulangi perbuatannya, tetapi suspek bertindak membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.

Bagaimanapun, tindakan suspek gagal selepas anggota tersebut yang dibantu rakan setugas berjaya menahan suspek.

Difahamkan, suspek yang mempunyai empat rekod lampau itu mengalami kecederaan pada muka dan tangan selepas bergelut ketika anggota melakukan tangkapan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi MalaysiaGazette memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast