GEORGE TOWN – Suspek yang cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di sini, direman selama empat hari.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 35 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.
“Suspek yang negatif daripada saringan dadah itu turut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Difahamkan, suspek ke balai polis berkenaan untuk berjumpa dengan rakannya yang dikatakan ditahan atas kesalahan dadah di balai polis itu.
Bagaimanapun, dia bertindak di luar kawalan, selain berada dalam pengaruh alkohol.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati suasana di pekarangan luar Balai Polis Dato Keramat tenang serta terkawal.
MalaysiaGazette terdahulu melaporkan polis menahan seorang lelaki yang mempunyai empat rekod lampau selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di sini.
Suspek berusia 35 tahun itu menunggang sebuah motosikal dikatakan menghampiri anggota sentri yang sedang menjalankan tugas di pintu pagar balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta anggota membuka pintu pagar tersebut.
Difahamkan anggota berkenaan minta suspek menyatakan tujuan ke balai sebelum dia tiba-tiba mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota tersebut selain menceroboh masuk pekarangan balai berkenaan.
Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.
Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran agar tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota tersebut.
Tindakan suspek gagal selepas anggota tersebut yang dibantu rakan setugas berjaya menahan suspek. – MalaysiaGazette