Teresa Kok menunjukkan dua butir peluru serta kertas ugutan yang diterimanya semalam.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa menerima ancaman bunuh dalam sekeping kertas bersama sampul surat berisi dua butir peluru semalam.

Teresa berkata, sampul yang mengandungi benda keras itu diambilnya dalam peti surat sebaik sahaja pulang ke rumah.

“Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis:“Cibailu Cina?!!! Lu Akan Mati !!! TUNGGU!!!”,” katanya yang berkongsi perkara itu di Facebook.

Beliau kemudian membuat laporan polis dan menyerahkan sampul surat dan peluru berkenaan kepada polis di Balai Petaling.

Polis juga datang ke bahagian peti surat di kondominiumnya untuk menjalankan pemeriksaan.

Teresa mendakwa beliau hairan mengapa dia menerima peluru dan surat yang penuh ugutan seperti ini.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas selepas saya buat laporan. Saya yakin pihak polis dapat membantu saya dalam kes ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette