Antara GRO wanita asing yang ditahan dalam serbuan D7 Bukit Aman di dua pusat hiburan di Pahang dan Johor Sabtu lalu. Ihsan Foto D7 Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai 35 individu ditahan polis dalam dua serbuan pusat hiburan di Kuala Rompin, Pahang dan Endau, Johor pada Sabtu lalu.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan yang dilakukan pada jam 8 malam itu membabitkan 26 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.

Daripada jumlah itu 23 orang adalah warga Vietnam, dua warga Laos dan seorang warga Thailand.

“Dalam serbuan pertama di Kuala Rompin, seramai 18 individu iaitu seorang lelaki tempatan disyaki pengurus pusat hiburan, seorang wanita warga Vietnam yang berperanan sebagai mummy beserta 16 GRO wanita asing.

“Dalam serbuan kedua di Endau pula, pasukan serbuan berjaya memberkas seramai 10 GRO wanita asing bersama seorang wanita Vietnam disyaki memainkan peranan sebagai mummy, penjaga premis lelaki tempatan dan lima pelanggan warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Serbuan tersebut dilakukan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Bukit Aman.

Antara GRO wanita asing yang ditahan dalam serbuan D7 Bukit Aman di dua pusat hiburan di Pahang dan Johor Sabtu lalu. Ihsan Foto D7 Bukit Aman

Menurut Mohamad Farouk, semakan mendapati kesemua individu yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 55 tahun.

Tambah beliau, siasatan mendapati dua wanita Vietnam bergelar mummy yang ditahan di kedua-dua pusat hiburan itu memainkan peranan sebagai orang tengah kepada pelanggan untuk mendapatkan khidmat GRO wanita asing.

“Selain itu, kelab itu mengenakan tip atau bayaran sebanyak RM80 sahaja untuk menemani pelanggan berhibur atau berkaraoke di pusat hiburan itu.

“Justeru, ujian saringan air kencing turut dilaksanakan ke atas mereka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan sebelum keputusan menunjukkan seramai 27 individu iaitu pekerja dan pelanggannya disahkan positif dadah,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu pejabat Polis (IPD) Rompin dan IPD Mersing untuk membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast