KUALA LUMPUR – Kuasa veto yang dipegang oleh Amerika Syarikat dan Eropah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memastikan Presiden Israel Benjamin Netanyahu mencapai objetif.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembunuhan beramai-ramai yang dipimpin oleh Netanyahu terhadap penduduk Palestin tidak akan berhenti di Gaza.
“Netanyahu berikrar untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai. Matlamatnya adalah untuk menakluki Gaza dan menjadikannya sebahagian daripada Israel.
“Tetapi dia tidak akan berhenti di situ. Sasaran seterusnya ialah Tebing Barat. Kemudian Lubnan. Kemudian Syria. Untuk mencapai ini semua rakyat Palestin mesti dibunuh.
“Dan kuasa besar akan menyokongnya dengan senjata dan wang. Kuasa veto mereka akan memastikan Netanyahu akan mencapai objektifnya,” kata Dr. Mahathir.
Menurut beliau, apa yang berlaku di Gaza ketika ini memperlihatkan bahawa tamadun manusia telah sampai ke penghujungnya.
Amerika Syarikat dan Eropah secara langsung memperlihatkan sokongan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel.
“Semua yang kita percayai, seperti hak asasi manusia, kesucian hidup, kebebasan, persaudaraan, kesaksamaan, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar – kini telah ditolak.
“Di tempat mereka, penyokong besar seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, telah secara terbuka menyokong peperangan, pembunuhan beramai-ramai orang, pembunuhan beramai-ramai, pembunuhan bayi, ketidakadilan, dan lain-lain.
“Mereka kini meluluskan pembunuhan beramai-ramai, menyediakan senjata dan dana, memveto sebarang percubaan untuk menamatkan perang dan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Bagaimanapun menurut beliau, terdapat kebangkitan kalangan orang muda di Amerika Syarikat dan Eropah dalam membantah keruntuhan nilai moral dan ketamadun yang dilakukan kepimpinan negara terbabit.
“Satu-satunya orang yang membantah keruntuhan nilai moral dan ketamadunan ialah golongan muda.
“Mereka telah bangkit membantah. Mereka menentang kerajaan mereka sendiri. Mereka menuntut dihentikan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza.
“Mereka bukan anti-semitik. Ramai yang berdemo adalah Yahudi. Mereka hanya menentang pembunuhan beramai-ramai,” jelasnya.
Israel telah membunuh lebih 35,000 rakyat Palestin di Gaza. Kebanyakan mangsa adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Kemudahan infrasturktur seperti hospital, universiti, sekolah, rumah ibadat, pusat perlindungan dan bangunan kerajaan di bom dalam serangan berterusan lebih lapan bulan.
Kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza kini menjadi pelarian dan tidak lagi mempunyai tempat selamat apabila benteng terakir mereka di Rafah juga diserang Israel selepas mereka dipaksa meninggalkan kawasan utara dan tengah. – MalaysiaGazette