KUANTAN – Polis Pahang meningkatkan tahap keselamatan 96 balai polis dan 46 pondok polis berikutan dua insiden membabitkan pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, beliau telah mengarahkan setiap Ketua Polis Daerah memastikan balai polis serta anggotanya berada dalam siap siaga.
”Ia selaras dengan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan tahap keselamatan di balai polis berikutan insiden serangan berlaku baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dalam serangan Balai Polis di Ulu Tiram, Johor pada jam 2.54 pagi Jumaat lalu, dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera.
Semalam, polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam pengaruh alkohol selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di Balai Polis Dato Keramat di sini, awal pagi tadi. – MalaysiaGazette