KUALA LUMPUR – Pesta hiburan di atas gerabak keretapi baru-baru ini telah menjejaskan imej dan maruah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Demikian menurut Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) menerusi Facebooknya.

Tanpa mengulas panjang, kesatuan tersebut berpendirian pegawai yang meluluskan pesta tersebut perlu bertanggungjawab penganjuran pesta yang mengundang kontroversi itu.

“Rasanya semua setuju jabatan dan pegawai-pegawai yang berurusan harus bertanggungjawab. Takkan nak minta maaf dan lepas tangan?

“Maruah dan imej KTMB terjejas. Memalukan!! Pekerja turut merasa tempiasnya.. #selamatkanKTMBselamatlahPEKERJA,” tulis kesatuan tersebut.

Terdahulu, PAS mengecam dan menyifatkan pesta hiburan yang dianjurkan sebuah entiti itu baru-baru ini sebagai melampau batas.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata pesta berkenaan bertentangan dengan budaya ketimuran yang mengutamakan nilai tatasusila, kesopanan dan hiburan sederhana.

katanya lagi, budaya berhibur secara melampaui batas seperti menghadiri kelab malam seperti mana ditonjolkan oleh pesta hiburan ini pada 16 Mei lepas, tidak mencerminkan nilai Rukun Negara dan mencemarkan nama KTMB yang merupakan aset negara bersejarah.

Sehubungan itu beliau menggesa supaya siasatan bagi mengenal pasti kelulusan program sebegitu.

Sebagai rekod, sehingga artikel ini diterbitkan, KTMB masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan respon.-MalaysiaGazette