Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali. Foto fail WAN NABIL NASIR, 07 MAC 2024.

PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik balik permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun atas dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella di Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini.

Difahamkan melalui peguamnya, Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri, anak guamnya berkata permohonan itu telah ditarik balik kerana pihaknya akan membuat permohonan baharu yang sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Ketika prosiding hari ini di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, yang bersidang bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan perkara tersebut.

Kata Ahmad Zaidi, permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun itu.

Ini kerana mahkamah mendapati tidak ada sebab dan keperluan luar biasa untuk membenarkan penggantungan tersebut.

Siti Bainun kemudian membuat permohonan di mahkamah sama di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin namun keputusan Mahkamah Sesyen untuk tidak membenarkan penangguhan dikekalkan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara. – MalaysiaGazette