Mohamed Azmin Ali.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengesahkan memanggil Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk dirakam percakapan berhubung kebocoran dokumen sulit Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan beberapa maklumat tidak tepat yang didedahkan kepada umum.

Perkara ini dikhuatiri boleh menjejaskan imej dan nama baik PKNS.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis juga telah memanggil seramai 15 orang saksi dan dirakam percakapan mereka.

Menurutnya, siasatan dilakukan selepas polis menerima laporan daripada Pegawai PKNS pada 14 Mac 2024.

“Kehadiran Datuk Seri Azmin Ali untuk bantu siasatan kebocoran dokumen dan bukan mengenai perkara yang dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri pada 28 Februari 2024.

“Sehubungan itu, Polis Selangor menasihatkan orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat sehingga siasatan polis selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Rakaman percakapan itu dilakukan di bawah Seksyen 112, Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 203A, Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat.

Semalam, Ketua Pembangkang DUN Selangor itu mendakwa menerima notis di bawah Seksyen 11 Kanun Prosedur Jenayah pada 7 Mei lalu susulan kenyataannya mengenai pengurusan PKNS ketika persidangan negeri itu.

Katanya, tindakan mengeluarkan notis berkenaan secara jelas melanggar perundangan dan ia adalah cubaan bagi menakutkan dirinya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai ADUN dan Ketua Pembangkang.

Sebelum ini, Mohamed Azmin dilaporkan meminta kerajaan Negeri Selangor menjelaskan tindakan PKNS menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta. – MalaysiaGazette