KUANTAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) dan gelombang hijau telah berkubur ekoran kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu lalu.
Ujar Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, sebaliknya gabungan itu masih utuh kerana berjaya mengikat para pengundi muda berdasarkan keputusan pilihan raya kecil itu.
”Ada dua perkara yang jelas, pertama undi pengundi muda tetap bersama dengan PN dan yang kedua, daripada 6 PDM yang majoriti besar Melayu, kami menang 4.
“Ini bermakna gelombang PN itu masih wujud, cuma tidak cukup untuk menang di Kuala Kubu Baharu dan selalunya kita tidak ukur kekuatan sesuatu parti itu dengan satu,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis menandatangani Arahan Bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Arahan MPT Bersatu) hari ini oleh dua ADUN Pahang.
Katanya, kayu pengukur bagi menilai prestasi PN dan gelombang hijau wajar dilakukan melalui perkembangan politik pada keputusan Pilihan Raya Negeri akan datang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus dan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin yang menandatangani arahan bertulis itu memberi jaminan akan tetap teguh menyatakan kesetiaan bersama parti dengan mendukung dasar, matlamat dan perjuangannya.
Saifuddin berkata surat akuan tersebut perlu ditandatangani setiap Ahli Parlimen bagi menyatakan kesetiaan mereka pada Bersatu dan tidak mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Manakala bagi di peringkat negeri, ADUN Bersatu perlu melakukan perkara sama dan tidak menyokong Menteri Besar yang berpihak kepada perdana menteri.
Jelasnya, kegagalan ADUN berbuat demikian akan menyebabkan keahlian mereka dalam parti terhenti secara serta-merta menurut Fasal 10.4 Pelembagaan Bersatu dan kerusi tersebut perlu dikosongkan secara automatik. – MalaysiaGazette