Siaran langsung Perutusan Negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan serius untuk menggubal Dasar Gaji Progresif membabitkan sektor swasta bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, usaha itu penting kerana ramai golongan muda dan graduan sering bertanya mengenai nasib mereka berhubung isu tersebut.

“Kita serius menggubal Dasar Gaji Progresif yang membabitkan sektor swasta kerana ramai anak muda serta graduan bertanyakan apa nasib mereka.

“Sasaran gaji baharu sektor awam akan memberi mesej jelas kepada sektor swasta supaya mencatatkan keuntungan tinggi namun janganlah dengan meninggalkan peluang dan kedudukan pekerja sama ada peringkat bawahan atau profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan di sini malam ini.

Anwar memberitahu, Malaysia turut mencatatkan pencapaian ekonomi amat memberangsangkan bagi suku pertama tahun ini pada kadar 4.2 peratus mengatasi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan pada 3.9 peratus.

Beliau berkata, prestasi itu direkodkan dalam suasana ekonomi global yang terus tidak menentu.

“Dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan, hampir semua sektor melonjak dan memangkinkan pertumbuhan buat suku pertama tahun 2024.

“Pencapaian makroekonomi ini harus kita raikan bersama,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, dalam menggerakkan agenda pembaharuan, Malaysia memerlukan hala tuju ekonomi yang lebih jelas.

Katanya, ia dapat disaksikan dengan peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai landasan utama memperbetulkan strukturan ekonomi negara.

“Ekonomi Madani yang ingin diperkenalkan ialah perencanaan baharu membabitkan pelbagai sektor dan aspek ekonomi yang mana perancangan ini meliputi ikhtiar meningkatkan pemacuan ekonomi.

“Ia juga bertujuan menggalakkan pelaburan, memperkukuh industri tempatan supaya lebih berdaya cipta, berdaya saing serta mampu dilonjakkan ke pasaran global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast