Mahkamah Majistret Ayer Keroh menolak pengakuan bersalah Badin, 26, atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun, April tahun lalu.

MELAKA – Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini menolak pengakuan bersalah seorang warga Indonesia atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia 17 tahun, April tahun lalu.

Majistret Nabilah Nizam menolak pengakuan tertuduh, Badin, 26 selepas fakta kes yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak diakui tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak perempuan berumur 17 tahun ketika kejadian antara pukul 4 hingga 5 pagi 27 April 2023.

Perbuatan itu dilakukan semasa berada di rumah beralamat di Tengkera Pantai 1, dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh yang tidak diwakili peguam hendaklah dihukum penjara sehingga tiga tahun mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Naim Abd Jalil tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh bukan warga negara dan tiada pas sah untuk berada dalam negara.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 9 Julai ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette