Mohamad Nazri Zainal, 28, didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan bekas isterinya, minggu lalu.

ALOR GAJAH – Padah menumbuk pipi bekas isteri kerana cemburu melihatnya berpakaian cantik, seorang penganggur didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan wanita itu, minggu lalu.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh, Mohamad Nazri Zainal, 28, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menumbuk pipi bekas isterinya, Nur Izati Mohd Fadzir, 25, di sebuah rumah bernombor di Kondo Beverly Hills A Famosa Resort, Simpang Empat dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 8.21 malam 15 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh tinggal menumpang di rumah bekas isterinya sejak 31 Mac lalu selepas wanita itu simpati melihat keadaan tertuduh yang tidak bekerja.

Tertuduh yang sudah dua tahun bercerai bagaimanapun bertindak mencederakan mangsa kerana cemburu melihat bekas isterinya itu berpakaian cantik ketika hendak keluar rumah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu denda yang rendah dengan alasan tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah memberi kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9.30 pagi 16 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan denda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan pengawasan tidak kurang dua tahun tetapi tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM1,600 dan menetapkan 29 Julai depan untuk serahan laporan patologi. – MalaysiaGazette