Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghubungi Mohammad Mokhber bagi menyampaikan ucapan takziah atas berita nahas helikopter yang menimpa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan pasukannya di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 21 Mei 2024. - AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menghadiri majlis pengebumian bekas Presiden Iran Allahyarham Ebrahim Raisi.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghubungi Presiden Interim Iran, Mohammad Mokhber hari ini.

Dalam perbualan, Anwar mengucapkan takziah di atas pemergian Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian yang maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.

Perdana Menteri turut menekankan Malaysia akan meneruskan hubungan baik dengan Iran.

“Saya juga sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh dan saya telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan almarhum presiden sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah serta menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.

Beliau turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

“Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh,” kata Anwar.

Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.-MalaysiaGazette