KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menobatkan tiga usahawan orang kelainan upaya (OKU) sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor pada pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD).
Penganjuran edisi kelima itu berlangsung baru-baru ini yang menyaksi tiga pemenang tersebut mengatasi tujuh peserta lain yang diadili Tengku Amir Shah bersama empat juri lain.
Johan menjadi milik usahawan minuman kesihatan, Ahmad Anda Ismail sementara naib johan pula Mahmud Rasul (kuih raya) dan tempat ketiga, Sazman Nazlee Adha Mohd Ali (syarikat fotografi).
Kesemua mereka menerima piala dan sijil pengiktirafan daripada Selangor Youth Community (SAY) serta geran perniagaan berjumlah RM4,000 (juara), RM3,000 (naib juara) dan RM2,000 (tempat ketiga).
Pemenang juga menerima geran perniagaan daripada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bernilai RM2,000 setiap seorang.
Selain itu, mereka layak menyertai SAY LEAD+ program bimbingan selama setahun bagi membantu mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baru, pendigitalan perniagaan, pasaran eksport dan reruai percuma.
Program SAY LEAD yang berlangsung sejak Oktober tahun lalu disertai 30 peserta yang menjalani kursus profil keusahawanan, model perniagaan kanvas serta rancangan perniagaan.
Kursus lain adalah penjenamaan dan pendigitalan pemasaran, pengurusan kewangan, sesi perkongsian bersama agensi berkaitan, bengkel dan pembentangan perniagaan.
Pusingan akhir liga usahawan OKU Selangor turut diadili empat juri lain iaitu Ketua Bahagian Penasihat dan Pemantauan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Ahmad Daud Abdul Rashid dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Muhd Firdaus Azharuddin.
Juri lain, Pengurus Pembangunan Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Yuzawati Yusof dan Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad, Mohamad Syukri Ismail. – MalaysiaGazette